Kerjaya Raja Ema

Permulaan awal dan kerjaya muzik

Raja Ema telah pun terkenal sebelum merakamkan satu lagu untuk album pertama beliau, malah beliau juga telah pun menghiasi muka depan majalah-majalah hiburan pada tahun 1985. Apabila album pertama beliau dipasarkan iaitu Volume 1 ramai yang mengkritik bahawa suara Raja Ema tidak matang tetapi bersetuju lagu Jejaka Idaman cukup sesuai dengan suara manja ketidakmatangan beliau itu.

Gambar Daripada Album Titik Bermula (1988)

Raja Ema adalah artis pertama secara rasmi yang muncul di rancangan hiburan TV3 Muzik-Muzik pada tahun 1986 untuk lagu Jejaka Idaman, walaupun lagu tersebut cukup popular namun lagu berentak pop tidak begitu mendapat perhatian oleh rancangan tersebut yang lebih cenderung memilih lagu balada. Jejaka Idaman tidak tersenarai dalam juara bulanan.

Raja Ema juga merupaka artis pertama Malaysia yang mempunyai klip video iaitu untuk lagu Di Pertemuan Ini. Penggambaran untuk klip lagu tersebut dibuat di beberapa jalan raya di Kuala Lumpur. Dalam umur 16 tahun Raja Ema telah mampu untuk membeli sebuah kereta Mazda hasil jualan album pertama yang melebihi 100,000 unit dan pertunjukkan pentas dan sebagainya.

Setelah gagal untuk tersenarai dalam Muzik-Muzik 1986 untuk lagu Jejaka Idaman, pada tahun yang sama Raja Ema muncul dengan album kedua iaitu Volume 2. Lagu pertama yang dipopularkan dalam album tersebut iaitu Angan-Angan berjaya tersenarai sebagai juara untuk bulan Januari 1987, namun pada pertandingan akhir Anugerah Juara Lagu 1987, Raja Ema tidak dapat mempersembahkan lagu tersebut kerana beliau berada di Indonesia bagi penggambaran filem seram usahasama Malaysia-Indonesia berjudul Pernikanan Berdarah.

Sebagaimana Ella diberikan penghormatan untuk menyanyikan lagu tema untuk atlit Malaysia bagi Sukan Komanwel 1998 iaitu Standing In The Eye of The World, Raja Ema pula adalah penyanyi pertama yang diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu 'penaik semangat' dan tema untuk atlit Malaysia yang bertanding dalam Sukan Olimpik Seoul 1988 dengan lagu Mentari Korea yang dipetik dari album ketiga beliau berjudul Titik Bermula dan terakhir bersama syarikat EMI.

Raja Ema adalah artis pertama yang dipilih sebagai duta kepada Syarikat Edaran Otomobil Nasional (EON) pada tahun 1988. Tahun 1988 Raja Ema berganding dengan Jamal Abdillah menyanyikan lagu iklan Hari Raya EON yang sering disiarkan dikaca TV pada ketika itu. Tahun 1989 juga, Raja Ema bersama dengan Sheila Majid dan Liza Othman terpilih sebagai model iklan sabun Lux.

Album terakhir beliau berjudul Tidakkah Aku Menyintaimu... pada tahun 1989 telah diterbitkan oleh syarikat kepunyaan Raja Ema sendiri iaitu EMAREC, ia juga menerbitkan album kumpulan Wom. Namun sebuah lagi kumpulan yang dianggotai oleh dua orang remaja tidak dapat diterbitkan kerana masalah undang-undang walaupun semua lagu telah dirakam dan hanya menunggu untuk diedarkan.

Sepanjang Raja Ema dalam bidang nyanyian, beliau mempunyai 4 buah album studio. 3 album bersama dengan syarikat EMI dan 1 album terbitan syarikat beliau sendiri iaitu EMAREC dan diedarkan oleh syarikat ASP (Antartic Sound Production).

Kerjaya lakonan

Raja Ema mula menceburi dalam bidang lakonan apabila beliau ditawarkan untuk berlakon dalam filem Sayang yang merupakan filem pertama lakonan beliau. Di dalam filem itu, menapilkan seorang pelakon bintang rock terkenal negara iaitu Amy Search dan juga merupakan lakonan filem kedua beliau.

Sepanjang pembabitkan Raja Ema dalam bidang lakonan, beliau telah berlakon sebanyak 9 buah filem tempatan. Selain itu juga, beliau telah berlakon sebanyak 7 buah filem usahasama Malaysia-Indonesia menjadikan beliau sebagai pelakon paling banyak berlakon dalam filem usahasama.

Terdapat sebuah filem berjudul Camar Yang Pulang lakonan Raja Ema dengan Along Kamaruddin pada tahun 1991 yang telah siap tetapi tidak ditayangkan. Sebuah drama lakonan bersama Jalil Hamid yang mana Raja Ema memegang watak wanita buta yang boleh melihat semula setelah dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh Jalil Hamid, juga belum ditayangkan di kaca televisyen hingga kini. Dalam penggambaran filem Sumpah Berdarah (1990) di Indonesia Raja Ema terpaksa di bawa ke hospital apabila beliau tercedera ketika menunggang motosikal.

Selain filem, Raja Ema pernah berlakon dalam sitkom iaitu pada tahun 1989 yang menggantikan Ziela Jalil di dalam sitkom Hafsham 2+1, namun kehadiran Raja Ema tidak disenangi oleh ramai penggemar sitkom tersebut kerana mereka mengatakan Raja Ema tidak pandai berlakon komedi. Selain itu juga, Raja Ema pernah berlakon dalam 2 buah drama yang pernah ditayangkan di TV3 sekitar tahun 1990-1991 dan sebuah drama bersiri Rumah Kedai pada tahun yang sama. Raja Ema pernah berlakon di dalam 2 buah teater iaitu Rumahku, Syurgaku pada tahun 1991 dan Masak-Masak pada tahun 1992. Teater Rumahku, Syurgaku telah ditayangkan secara langsung oleh RTM dan telah dihadiri oleh mantan Perdana Menteri sekarang iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tahun 1991 juga Raja Ema berlakon dalam drama terbitan RTM berkisar tentang kehidupan P.Ramlee. Raja Ema memegang watak Mariani manakala Melissa Saila sebagai Saloma. Raja Ema sempat mempersembahkan lagu Malam Pesta Muda Mudi untuk drama ini.